Friday 13 January 2017

Myanmar Cabuli Hak Asasi Etnik Rohingya

SEJAK kebelakangan ini jelas kedengaran pelbagai reaksi masyarakat Malaysia mahupun antarabangsa terhadap kesengsaraan etnik Rohingya. Pelbagai bentuk sokongan dipaparkan dalam bentuk penulisan di media massa, kempen, derma kilat serta sumbangan dan tidak kurang juga beberapa sesi dialog serta 'bantahan' ke kedutaan Kerajaan Myanmar.

Dari pelbagai sumber berita dan juga sejarah etnik Rohingya, tercatat pelbagai maklumat dan bukti bagaimana etnik ini cuba dihapuskan hak asasi mereka sebagai warganegara sah. Hak mereka untuk hidup dan dilindungi oleh sesebuah negara seharusnya terpelihara. Tidak timbul isu hak asasi dinafikan oleh negara asal mereka sendiri, iaitu Myanmar walaupun pelbagai alasan diberikan oleh pemerintah Myanmar.

Rentetan peristiwa pencabulan hak asasi ini telah pun berlaku lebih ratusan tahun sejak akhir abad ke-19 dan di awal abad ke-20 lagi. Maklumat dari Amnesty International, pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya di Arakan berlaku sejak 1978 lagi, dan dikaitkan dengan operasi Nagamin' ('Raja Naga') tentera Myanmar. Akibatnya ratusan ribu etnik Rohingya memilih lari ke negara jiran terdekat seperti Bangladesh.

Ada juga yang mencuba nasib ke Thailand, Indonesia dan negara kita. Pencabulan dan layanan tidak berperikemanusiaan ini termasuk mereka diseksa, mereka dihalau dari kampung halaman, rumah dibakar, perempuan di perkosa, ada dibunuh dan mereka hidup dalam ketakutan.

Penghapusan etnik 
Ia seolah-olah penghapusan etnik dan diskriminasi kaum ini mendapat 'restu' dari sebuah kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa. Perkara ini berlaku tanpa dunia melihat bahawa kekejaman itu, pembunuhan yang kejam, mayat bergelimpangan, hilang rasa kasihan dan penafian hak mereka untuk hidup. Sebahagian mereka yang tinggal di kem pelarian atau juga dikenali 'internally displaced person camp' (IDP) di Arakan juga tidak menerima makanan dan minuman yang cukup.

Kawasan kem yang tidak mempunyai sumber air bersih yang mencukupi, sering dilanda banjir dan sangat padat untuk diduduki dan jauh sekali mendapat rawatan kesihatan asas serta sokongan sosial yang diperlukan oleh setiap individu. Di samping itu, masyarakat antarabangsa juga mengetahui beberapa gerakan pembebasan etnik Rohingya disekat dengan keras dan maklumat dalaman tidak dapat diketahui oleh dunia luar.

Dipaksa jadi buruh 
Beberapa laporan menyatakan mereka juga terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem tentera, terutama di utara negeri Rakhine sejak lebih sedekad lalu. Merujuk kepada mandat diberikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan 'The Commission on Human Right', tanggungjawab untuk menjalankan pemeriksaan, pemantauan dan membuat laporan ke atas hak asasi manusia di sesebuah negara atau kawasan boleh dilakukan. Ini bermakna, sesebuah negara harus memberi dan mengiktiraf hak kepada rakyat mereka untuk hidup dan menerima sokongan asas dalam kehidupan. Hak sejagat ini termaktub dalam 'The Universal Declaration of Human Rights (UDHR)' yang diluluskan PBB pada 1948, di Palais de Chaillot, Paris. Deklarasi ini timbul susulan pengalaman Perang Dunia Kedua, dan sebagai wakil suara penduduk dunia meminta dan percaya bahawa setiap manusia mempunyai hak asasi yang harus dipertahankan. Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) sedia menawarkan bantuan kepada mana-mana kerajaan dalam usaha untuk membantu pelarian yang tiba di negara jiran apabila tercetus krisis seperti ke atas etnik Rohingya. Krisis kemanusiaan yang dihadapi etnik Rohingya pada hari ini boleh dikategorikan sangat serius. Masyarakat dunia, terutama di rantau ASEAN perlu mengambil sikap proaktif dan drastik untuk terus memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar. Ini tidak bermakna kita mengganggu hal dalaman negara jiran. Pelarian Rohingya secara dasarnya mempunyai hak untuk diterima semula ke negara asal. Namun, mereka sangat bimbang akan dinafikan hak kewarganegaraan mereka dan berkemungkinan sebahagian besar tidak dapat kembali ke Myanmar. Kebimbangan ini ada asasnya berdasarkan sejarah di mana pengusiran besar-besaran berlaku pada awal 1948 dan sekitar 1991. Kerajaan Myanmar pula tidak menerima etnik Rohingya sebagai rakyat. Beberapa laporan mengaitkan Kerajaan Myanmar mengguna pakai dan meminda 'Burma Citizenship Law' yang diluluskan pada 1982 sebagai dasar tidak mengiktiraf etnik Rohingya ini. Negara jiran, terutama Bangladesh berdepan krisis kerana semakin ramai pelarian Rohingya berada di kem sempadan negara mereka. Ini amat malang kerana mengikut sejarah sejak abad ke-8 Masihi, mereka antara generasi awal yang menduduki kawasan di Arakan (kini dikenali Rakhine) Barat Myanmar, terutama di sekitar kawasan dikenali Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw. Menurut fakta sejarah juga, nama Arakan dikatakan berasal daripada perkataan Arab 'Arkan' yang bermaksud rukun-rukun. Pengaruh perkataan Arab ini dikaitkan dengan kedatangan pedagang Arab yang sering singgah di situ dan ada juga yang berkahwin dengan masyarakat tempatan ketika itu. Kita mengambil dasar dan inisiatif membantu dan menyuarakan bahawa setiap individu mempunyai hak kewarganegaraan hak asasi dan dilindungi berdasarkan Deklarasi Hak Asasi oleh PBB. Justeru, tindakan sebahagian masyarakat dan pelbagai jenis tabung kemanusiaan oleh individu dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan sangat dialu-alukan.

ETNIK Rohingya mengaminkan doa ketika Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Taman Tasik Titiwangsa pada 4 Disember lalu. - Foto Khairull Azry Bidin
Sumber: http://www.bharian.com.my/node/223899

No comments:

Post a Comment