Friday 13 January 2017

Wanita Perlu Bijak Rebut Peluang, Hak Sama Rata

Sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa atau Hari Wanita Sedunia disambut setiap tahun pada tarikh 8 Mac. Tema yang dipilih untuk sambutan tahun 2015 kali ini ialah 'Make it happen' (Jadikan ia satu realiti).

Sejajar dengan tema terbabit, amat jelas mesej yang ingin disampaikan bagi Sambutan Hari Wanita Sedunia kali ini iaitu segala hak yang dijanjikan serta termaktub khusus untuk memelihara serta melindungi kaum wanita itu sendiri hendaklah diberikan dengan sewajarnya.


Peluang sama rata sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya mahupun peringkat pembuat keputusan hendaklah diberikan kepada kaum wanita. Umum perlu ketahui, kaum wanita masa kini terpaksa bergelut dengan kerjaya demi menyara keluarga dan diri, sedangkan pada masa sama, turut menjadi ibu mahupun isteri di rumah.


Keputusan bagi menghapuskan diskriminasi terhadap wanita melalui Konvensyen berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) atau lebih dikenali sebagai Konvensyen Hak Wanita yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1979 dan penggunaannya berkuat kuasa pada 3 September 1981. Malaysia meratifikasi CEDAW pada 5 Julai 1995, tetapi dengan reservasi beberapa bahagian isi kandungan yang didapati bercanggah hukum syarak dan sebahagiannya bercanggah dengan Perlembagaan negara membabitkan Artikel 2 (f), 5(a), 7(b), 9 dan 16. Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa Malaysia menarik balik reservasi ke atas beberapa artikel berdasarkan perkembangan kaum wanita di negara ini. Pada 1998, Malaysia menarik balik reservasi ke atas Artikel 2(f), 9(1), 16(b), (d), (e) dan (h). 

Hak sama seperti lelaki
Pada 2010 pula, Malaysia menarik balik reservasi ke atas artikel 5 (a), 7 (b) serta 16 (2). Dengan penarikan balik reservasi ke atas beberapa artikel terbabit, hanya tinggal beberapa artikel yang masih direservasi antaranya ialah Artikel 9 (2) yang menyatakan negara anggota akan memberikan kepada golongan wanita hak-hak yang sama seperti lelaki berkaitan kerakyatan anak-anak mereka, Artikel, 16 (1) (a) berkaitan hak peribadi suami dan isteri yang sama, termasuk hak untuk memilih nama keluarga, profesyen dan pekerjaan.

Selain itu, beberapa artikel yang masih belum diterima ialah Artikel 16 (1) (c) yang berkaitan hak dan tanggungjawab yang sama ketika berkahwin dan perceraian, Artikel 16 (1) (f) berkaitan hak dan tanggungjawab yang sama berkaitan penjagaan, perlindungan, pengamanahan dan pengambilan anak-anak angkat, atau institusi serupa di mana konsep demikian wujud dalam perundangan negara; dalam semua kes kepentingan anak-anak harus diutamakan serta Artikel 16 (1) (g) berkaitan dengan hak peribadi suami dan isteri yang sama, termasuk hak untuk memilih nama keluarga, profesion dan pekerjaan.

Meskipun terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kaum wanita dilihat kurang bersetuju dengan reservasi terhadap beberapa artikel itu, konvensyen berkenaan secara keseluruhannya harus dinilai serta dilihat dengan cara yang baik. Konvensyen terbabit memberi banyak manfaat kepada perlindungan serta kebebasan khususnya terhadap kaum wanita. Sebarang pelaksanaan sepenuhnya resolusi persidangan termasuk yang termaktub dalam CEDAW perlu mengambil kira kepelbagaian serta latar belakang sesebuah masyarakat terutama masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai perbezaan agama dan latar belakang, namun tidak membelakangkan keperluan asas bagi memastikan perlindungan dan kesaksamaan hak kaum wanita itu sendiri.

Perlembagaan Persekutuan yang digubal semula pada Ogos 2001 adalah antara langkah penting yang diambil oleh kerajaan bagi membendung diskriminasi gender di dalam mana-mana undang-undang dalam negara kita. Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kecuali seperti yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan itu tidak boleh ada diskriminasi terhadap warga negara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau perjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.


Kini terpulang kepada kaum wanita untuk mengambil peluang disediakan dengan memastikan kehadiran mereka bukan sebagai pelengkap kuota, sebaliknya dapat menyumbangkan segala bentuk kemahiran dan kepakaran setanding lelaki untuk pembangunan negara. Justeru, sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa pada tahun 2015 ini, marilah kita, tidak kira wanita ataupun lelaki berganding bahu bagi terus membantu serta merealisasikan segala janji serta melaksanakan semua langkah yang ditetapkan kerajaan bagi terus memartabatkan hak yang diberikan terhadap kaum wanita di Malaysia.

Image result for women rights quotes famous

No comments:

Post a Comment